Ramai yang bertanya kepada saya bagaimana untuk memilih benang sulaman yang sepatutnya digunakan dalam menghasilkan sulaman kerawang yang cantik. Saya berpendapat bahawa sebenarnya pemilihan benang sulaman terpulang serta bergantung kepada individu tersebut dalam mewarnai sulaman yang telah dihasilkan.
Dalam rutin menyulam seharian, saya sering memilih dan menggunakan sekurang-kurangnya 3 jenis warna benang sulaman yang berbeza. Paling sedikit pun, saya akan menggunakan 2 jenis warna benang sulaman bagi mewarnai corak sulaman dan 1 jenis lagi untuk menghasilkan lubang kerawang.
Ataupun saya juga menggunakan 2 jenis warna benang sulaman sahaja untuk setiap rekaan sulaman kerawang tetapi ditambah nilai dengan benang emas, benang perak ataupun benang pelangi dalam menaikkan lagi seri corak dan rekaan sulaman kerawang yang dihasilkan.
Pokok pangkalnya, pemilihan warna benang sulaman sebenarnya bergantung pada individu atau penyulam dalam mempelbagaikan warna sulaman yang telah dihasilkan.
Jika kita lihat, penggunaan warna benang sulaman yang pelbagai telah banyak digunakan dalam sulaman kerawang baba nyonya. Ia telah menjadi simbol atau trademark kepada sulaman baba nyonya yang menggunakan banyak jenis warna benang sulaman dalam menghasilkan sulaman kerawangnya.
Sekali imbas, ia seakan-akan sebuah lukisan sulam yang hanya dibuat pada fabrik. Itulah yang membezakan sulaman kerawang baba nyonya berbanding dengan sulaman daripada teknik-teknik lain.
Oleh itu, tepuk dada dan tanyalah selera anda sendiri dalam menjadikan ia sebagai simbol hasil karya sulaman kerawang anda yang lain daripada yang lain di pasaran. Serta ia mempunyai identiti yang tersendiri.

Ikhlas,
Syahida Ramli
Pengasas Butik Akademi Sulaman Sri Classic Collection
Moderator Online Courses Sulaman Kerawang
p/s : Jangan lupa memilih benang sulaman yang betul.